Secara umumnya, tatabahasa bahasa Melayu mencakupi dua bidang:
§ Morfologi: kajian tentang kata dan pembentukan kata, kelas kata dan imbuhan.
§ Sintaksis: kajian tentang pembentukan ayat.
Morfologi
Morfologi ialah bidang yang mengkaji struktur, pembentukan kata dan golongan kata. Dalam morfologi, unit terkecil yang mempunyai makna dan tugas nahu ialah morfem. Para pelajar juga perlu mengetahui maksud istilah morfem dan kata. Ini kerana kedua-dua adalah berbeza dari segi fungsi dan konsep.
Morfem
Morfem ialah unit terkecil yang menjadi unsur perkataan. Sekiranya kata tidak boleh dipecahkan kepada unit bermakna atau nahu yang lebih kecil, maka kata-kata ini terdiri daripada satu unit atau satu morfem.
Misalnya "minum". "Minum" tidak akan berfungsi dan memberi makna jika dipecahkan kepada mi dan num. Sebaliknya, kata "diminum" boleh dipecahkan kepada dua morfem, iaitu "di" dan "minum". Kesimpulannya, perkataan boleh terdiri daripada beberapa morfem.
Morfem boleh dibahagi kepada dua, iaitu morfem bebas dan morfem terikat.
Morfem Bebas | Morfem terikat/imbuhan |
Dapat berdiri sendiri, misalnya: minum, cuti, sekolah, periksa | Bentuk imbuhan, misalnya: mem, per, kan, ber |
Mempunyai maksud sendiri. | Tidak mempunyai makna tetapi mempunyai fungsi tatabahasa atau nahu. Boleh mengubah makna sesuatu kata dan seterusnya makna ayat. |
Morfem terikat/imbuhan
Morfem terikat/imbuhan boleh dibahagi seperti berikut:
§ Awalan. Ditambah pada bahagian depan kata dasar. Misalnya membaca, menghafal.
§ Akhiran. Ditambah pada bahagian belakang kata dasar. Misalnya perkataan "undian, minuman"
§ Sisipan. Diselit di antara unsur unsur kata dasar. Misalnya telapak (tapak)
§ Apitan. Ditambahkan serentak pada awalan dan akhiran kata dasar. Misalnya, imbuhan per....an dalam permainan.
Proses terbentuknya ayat bermula daripada morfem
MORFEM --> PERKATAAN --> FRASA --> KLAUSA --> AYAT
Sintaksis
Sintaksis merupakan satu cabang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses pembinaan ayat tetapi juga hukum-hukum yang menentukan bagaimana perkataan disusun dalam ayat.
Ayat ialah binaan yang terdiri daripada unsur ayat, iaitu unit-unit yang membentuk ayat.
Contoh:Amanuel sedang membuat kerja rumah.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response.
0 Responses